RSS

Butik Pakaian Muslimah Online

SweetMuslimah.com

Tuesday, March 22, 2011

Ketahuilah Bagaimana Kerajaan Memperdayakan Rakyat Dengan MyKad!

Hampir genap setahun kejadian jutaan rakyat negara ini terkejar dan berpusu menyerang Pejabat Pendaftaran Negara seluruh negara. Selaku agen kepada syarikat pengeluar MyKad dan serentak dengan serangan rakyat itu, maka kebanyakan Pejabat Pendaftaran telah beroperasi lebih masa untuk memastikan MyKad laris dan berjaya diperolehi oleh rakyat.
Serangan itu kerana ketakutan rakyat (yang pada masa itu masih belum menukar Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi kepada MyKad) terhadap ugutan pemerintah yang kononnya denda akan dikenakan selepas tarikh yang di tetapkan. Namum sehingga akhir tarikh yang diberikan hampir ratusan ribu dilaporkan masih belum menukar kad pengenalan mereka kepada MyKad.
Sedikit kelegaan apabila kabinet memutuskan pada 5 Januari 2006 hanya RM 10 dikenakan kepada mereka yang belum menukar My Kad lagi. Dengan pengumuman kabinet ini juga ada yang rasa tertipu kerana terlalu percaya dengan ugutan sebelum ini hingga sanggup ’bermalam’ beratur menunggu giliran membuat MyKad.
Rupanya setelah semua terhambat dan terkejar-kejar, penalti yang terkena cumalah RM10. Mungkin bagi setengah pihak RM10 itu besar, tetapi dalam negara yang serba naik hari ini (minyak naik, yuran sekolah naik, tambang naik, ayam naik, makanan naik) RM10 yang asalnya besar itu taklah seberapa besar lagi nilai sebenarnya pada hari ini.
Namun rasa tertipu sebilangan mereka mungkin sedikit terubat apabila ada mereka dinamakan sebagai pemenang kereta dalam pertandingan menukar MyKad atau sekurang kurangnya memiliki pengosok baju mahupun pengering rambut.
Serentak dengan pengumuman kabinet itu juga Menteri yang bertanggungjawab turut menyeru agar ratusan ribu yang masih belum menukar Kad Pengenalan itu agar berbuat demikian sesegera mungkin.
Mengikut satu sumber dipercayai statistik sehingga kini yang masih belum menukar ke My Kad masih tinggi.... persoalanya ialah kenapa perkara ini berlaku?
Januari lepas sebuah akhbar harian berbahasa Melayu, selepas pengumuman kabinet telah membuat analisis mengenai kepada ramai lagi masih tidak menukar MyKad.
Antara kemungkinan yang diutarakan antaranya ialah rakyat yang berada diluar negara dan berasa susah untuk ke kedutaan untuk menukar MyKad tetapi hampir semua analisa yang dibuat merumuskan alasan menyalahkan sikap rakyat Malaysia yang tidak kisah.
Kenapa saya tidak menukar MyKad.
Untuk pengetahuan semua saya adalah antara yang menjadi angka dalam statistik rakyat yang masih menukar kepada MyKad. Persoalanya kenapa saya tidak menukar kepada MyKad ?
Pertamanya saya tidak melihat kepentingan mengapa saya perlu menukar kepada MyKad. Malah saya melihat penukaran MyKad ini berkait rapat dengan pemunggahan wang negara ke kocek syarikat pengeluar MyKad tersebut. Saya juga mengesyaki dalam proses itu sudah tentu terdapat unsur korupsi terlibat.
Saya cukup yakin orang yang berpandangan seperti saya ini juga ramai jumlahnya tetap mengapa tiada perbincangan mengenai alasan ini dilakukan.
Malah pada pada ketika ramai rakyat berpusu menukar My Kad, tidak kurang juga ramai yang berpandangan kesungguhan kerajaan menghambat rakyat dengan menetapkan dateline itu sebenarnya hanyalah untuk melariskan bekalan syarikat pembekal yang memiliki kontrak membekalkan MyKad itu.
Menurut Menteri Dalam Negeri ketika itu Azmi Khalid, kos membuat sekeping MyKad adalah RM28.60. Tidakkah kelihatan agak tingi kos tersebut?
Kontrak membikin MyKad telah diberikan oleh kerajaan kepada sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia iaitu IRIS Corporation Berhad melalui perjanjian pada 13 Ogos 2003 yang lalu.
Berdasarkan laporan media utama negara, menurut perjanjian tersebut IRIS melalui anak syarikatnya GMPC Corporation Sdn. Bhd. akan membekalkan sejumlah 9 juta keping MyKad kepada Jabatan Pendaftaran Negara selama tempoh dua tahun dengan kontrak bernilai RM 216 juta.
Bermakna melalui perjanjian itu sekeping MyKad jatuh RM24.00. Kenapa menteri menyebut RM28.60? Kenapa ada tambahan RM2.60?
Kemudian adalah difahamkan pada 29 Ogos 2005 IRIS dan kerajaan menandatangani empat lagi perjanjian kali ini untuk membekalkan dalam tempoh 4 bulan MyKad, MyKid dan MyPR dengan kontrak bernilai RM92 juta!
Pertamanya ayuh kita fikirkan bagaimana boleh berlaku perbezaan harga sebegitu rupa, barangkali JPN nak ambil untung, barangkali ada VO kerana harga barangan naik, atau apa sahaja alasan .
Kedua tidakkah terlalu tinggi kos membuat sekeping MyKad itu?
Kos kad ATM
Kerana saya tidak memiliki maklumat kos pembikinan sebenar, cuba kita bandingkan dengan kad ATM, kecuali gambar pada MyKad, kad ATM juga kini memiliki cip sebagaimana MyKad cuma barangkali dengan perisian yang berbeza.
Contohnya kepada pemegang kad MAYBANK ATM yang hilang kadnya, MAYBANK mengenakan caj RM12 untuk membikin kad baru. Bermakna dengan RM12 (yang pasti kosnya lebih rendah dari itu) MAYBANK boleh membekalkan kad ATM baru dengan mengambil kira penalti yang pasti melindungi kos bank termasuk untung.
Katakanlah kerana terlalu canggih maka kos MyKad perlu lebih mahal, berapakah kadar lebih mahal itu? RM10 lebih mahal sekeping?
Saya membangkitkan perkara ini kerana saya mengira membikin 9 juta kad (tidak termasuk perjanjian kedua) dengan kos RM28.60 (menurut pengumuman Azmi) atau RM26 (menurut kontrak pertama) adalah terlalu mahal, dan rakyat Malaysia menanggung satu beban yang besar kerananya.
Sementara itu menurut makluman pada Mesyuarat Agung Tahunan IRIS pada Jun 2005 yang lalu, mesyuarat telah meluluskan elaun dan yuran pengarah berjumlah lebih RM1.50 juta kepada ahli-ahli lembaga pengarahnya, satu jumlah yang agak besar untuk sebuah syarikat awam.
Juga menurut rekod keuntungan syarikat bagi tahun berakhir 31 Disember 2005 adalah sebanyak RM6.823 juta berbanding RM4.393 juta tahun sebelumnya.
My Kad berkualiti, lebih dan tidak boleh dipalsukan.
Cuba rakyat Malaysia ingat inilah juga alasan kerajaan mendesak rakyat menukar kad pengenalan dari kad pengenalan biru kepada kad pengenalan berkualiti tinggi kononnya.
Saya masih ingat kad pengenalan arwah nenek saya. Berwarna biru, agak besar dan punya cap jari di kiri dan kanannya. Ketika nenek saya hidup, berdasarkan pengakuanya kad pengenala ’biru’nya itu berusia hampir 30 tahun. Pernah hilang sekali namun dipulangkan oleh seseorang melalui Balai Polis Pekan Linggi. Pernah terendam air kerana banjir, pernah basah, termasuk mesin basuh dan sebagainya...namum ia kekal elok selama 30 tahun.
Namum kad pengenalan ’sekental’ itu dikatakan tidak berkualiti dan mudah dipalsukan. Maka seluruh rakyat di perintahkan untuk menukar ke kad pengenalan yang di gelar Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi. Baru seminggu nenek saya memiliki kad pengenalan itu, dia terlupa dan kad pengenalan itu termasuk ke dalam mesin basuh dan Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi itu rosak dan renyuk, plastik laminated nya terbuka.
Sebulan selepas itu pada usia 73 tahun dia terpaksa membuat kad pengenalan baru lagi dan didenda kerana kad pengenalanya rosak.
Malah rakyat juga dikecewakan jaminan Kad Pengenalan Berkualiti tinggi itu kebal dan selamat ternyata retorik kerana hampir ratusan ribu juga kad pengenalan palsu di kesan kemudiannya. Khususnya banyak di temui di utara Sabah.
Kini sekali lagi lawak yang sama digunakan. Rakyat terpaksa menukar Kad Pengenalan Berkualiti Tinggi kepada MyKad agar ia lebih selamat dan efisyen.
Dalam tahun ini berapa ribu MyKad palsu telah dikesan.... apa yang kebal... ?
Ini tidak menghairankan kerana sistem pembuatan MyKad ini di pegang oleh sebuah syarikat swasta. Kad Pengenalan ialah benda penting dan melibatkan keselamatan negara. Bagaimana mungkin perkara sepenting Kad Pengenalan yang melibatkan keselamatan negara di punyai oleh sebuah syarikat. IRIS (syarikat pembuat MyKad) ialah sebuah syarikat awam dan apa jaminan agen asing melalui mana – mana proksi tidak memiliki kepentingan dalam syarikat dan dapat mengekses ke dalam sistem pembuatan MyKad.
Mudah dan efisyen antara alasan lawak yang digunakan oleh pemerintah untuk menipu rakyat agar menukar MyKad. Kerajaan menberi jamiman dengan hanya menyimpan satu MyKad anda tidak perlu membawa kad bank, lesen memandu dan sebagainya. Hidup akan lebih mudah dengan hanya membawa satu kad.
Saya mempunyai dua orang teman rapat yang pernah disaman kerana tidak membawa lesen memandu. Tahun lepas semasa melalui sekatan jalan raya teman saya di minta menunjukkan lesen memandu, lantas beliau menunjukkan MyKad tetapi beliau di saman kerana gagal menunjukkan lesen memandu. Pegawai yang membuat sekatan jalan raya tidak mempunyai peralatan mengimbas MyKad.
Kemudian bayangkan jika seseorang menggunakan MyKad sebagai kad bank. Bayangkan dia cuba mengeluarkan wang pada hari Jumaat malangnya oleh kerana tersalah key in nombor pin maka MyKad ditelan dan dia hanya boleh mendapatkan MyKad nya semula pada hari Isnin (itupun jika Isnin itu bukan cuti umum). Jika itu terjadi maka berhati hatilah dan lebih parah jika muka anda mempunyai iras warga Bangla atau Indonesia anda mungkin di tahan kerana di syaki pendatang asing tanpa izin kerana anda gagal menunjukkan MyKad ketika ditahan sedangkan MyKad anda ada dalam mesin ATM tadi.
Kad berkualiti juga jaminan yang melengkapkan lawak MyKad ini. Ini pengalaman salah seorang Exco Angkatan Muda keADILan Malaysia. Bulan Febuari 2006 lepas Saudari Zarerah Hanin hendak membeli peralatan elektrik di Court Mamonth cawangan Kajang.
Beliau di minta menunjukkan Kad Pengenalan. Maka beliau keluarkan MyKad nya, namum beliau amat kecewa kerana alat pengimbas MyKad yang digunakan gagal membaca MyKad beliau dan beliau tidak boleh meneruskan urusan pembelian tersebut.
Ke esokan harinya beliau terpaksa mengambil cuti untuk ke Pejabat Pendaftaran Kajang untuk mengadu hal itu. Pegawai yang bertugas mengatakan cip MyKad beliau tidak boleh dibaca. Pegawai itu meminta beliau membuat permohonan mendapatkan MyKad baru kerana rosak. Maka untuk itu beliau terpaksa membayar denda sedangkan itu bukan kesalahanya.
Bayangkan berapa keuntungan ‘tambahan’ yang syarikat pengeluar MyKad peroleh ketika jutaan rakyat terpaksa menukar MyKad kerana cip yang tidak berkualiti dan sensitif itu rosak.
Syarikat pembekal MyKad akan terus untung, manusia yang mendapat ‘percent’ juga akan terus untung dalam keadaan rakyat terus di himpit kesusahan.
Jika Pak Din di Kuala Pilah membaca tulisan ini pasti daia akan mengatakan “Apo nak buek dia momorintah kito ikut yo lah…” dan sudah tentu mereka yang memperoleh ‘percent’ dari urus niaga MyKad tidak peduli mengenai tulisan ini kerana kata mereka “Awat nak gempaq – gempaq bukan ramai yang bising lagi pun kita di lindungi…selagi ada bahagian percent untuk yang berkuasa”
Tetapi ketahuilah jutaan rakyat sedang memerhatikan kerakusan ini. Puluhan ribu yang belum membuat MyKad ialah lambang protes senyap rakyat terhadap penindasan dan rompakan wang rakyat oleh penguasa. Mereka sudah bosan dengan kerajaan yang memperbodohkan rakyat. Majoriti mereka ialah anak muda dan aku bangga menjadi sebahagian dari mereka.

Ehsan: CheGu Bard

0 comments:

Post a Comment